Dr Maszlee Malik memaklumkan beliau tidak pernah meminta habuan dari projek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang menjadi Menteri Pendidikan.
Katanya, bukan sahaja dari KPM, malah apa-apa projek sekalipun beliau tidak pernah meminta habuan.
“Maaf ya, bukan saya yang dimaksudkan oleh berita-berita yang berlegar mengenai ‘mantan menteri pendidikan’ yang minta 20% suapan dari projek solar di Sarawak.
“Itu menteri sebelum saya. Saya tidak pernah sesekali meminta 20% dari projek KPM dan apa-apa projek sekalipun,” katanya dalam status yang dimuat naik di media sosial.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga bergurau hanya meminta 20 sen bagi mereka yang mahu bergambar dengannya.
“Saya hanya minta 20 sen untuk sesiapa yang minta untuk ‘wefie’ bersama-sama saya sahaja,” katanya.
Tindakan beliau itu mungkin hanya gurauan kerana media semalam melaporkan individu yang terbabit dalam kes projek yang dimaksudkan Dr Maszlee.
Media semalam melaporkan, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings).
Ia sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada KPM pada 2016.

