PRN Sabah: PBS intai 30 kerusi

0
2

Thaddius Unnip

[PRN Sabah]
Parti Bersatu Sabah (PBS) berhasrat meletakkan calon di 30 kerusi yang dikenal pasti berpotensi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Radin Malleh, berkata pihaknya kini dalam proses untuk memuktamadkan senarai calon.

Beliau menjelaskan, analisis terhadap sokongan dan kekuatan di semua 73 kerusi menunjukkan PBS mempunyai potensi kuat untuk memenangi 30 kerusi terbabit.

“Kita cuma merancang bertanding di 30 kerusi kerana kita mahu berpatutan, realistik dan praktikal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik PBS di Kota Kinabalu.

Tambahnya, ramai muka baharu, termasuk wanita dipertimbangkan untuk membawa cabaran parti itu pada PRN nanti.

PBS yang ditubuhkan pada 1985, adalah satu-satunya parti politik tempatan paling lama bertahan di Sabah dengan 61 bahagian di seluruh negeri dan Labuan, membabitkan lebih 2,000 cawangan aktif.

Parti itu juga sudah menubuhkan jawatan kuasa penaja bahagian di 13 kerusi baharu.

Radin berkata, PBS secara diam-diam bekerja keras dan berkeyakinan memiliki kekuatan untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi pada pilihan raya kali ini.

Beliau diamanahkan untuk mengetuai persedian PBS menghadapi PRN berikutan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, masih berehat kerana kepenatan.

Radin berkata, sebagai parti pelbagai kaum, PBS berupaya memenangi mana-mana kerusi ditandingi, sama ada ia kawasan majoriti Kadazandusun Murut, Bumiputera Islam atau Cina.

Bagi kawasan yang tidak ditandingi PBS, Radin berkata parti itu akan menyokong calon parti yang sama perjuangan dengannya bagi mengalahkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).