Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyerbu pejabat agensi media antarabangsa, Al-Jazeera di ibu negara.
Dalam serbuan itu, dua komputer dilaporkan dirampas, dipercayai bagi tujuan membantu siasatan berhubung penerbitan dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ baru-baru ini.
Dokumentari itu mendakwa Malaysia memberi layanan buruk terhadap warga asing ketika mengawal penularan pandemik Covid-19.
Al Jazeera menerusi laporan di portalnya mengesahkan perkara itu dan mengecam tindakan polis Malaysia.
Pengarah urusan Al Jazeera English, Giles Trendle berkata ia ‘sangat prihatin’ dengan serbuan itu dan meminta kerajaan Malaysia menghentikan siasatan terhadap wartawannya dengan segera.
“Melakukan serbuan ke pejabat kami dan merampas komputer adalah sesuatu yang membimbangkan dalam tindakan pihak berkuasa terhadap kebebasan media.
“Ini juga menunjukkan sejauh mana mereka bersedia untuk menakut-nakutkan wartawan.
“Al Jazeera berdiri teguh di belakang wartawan dan laporan kami. Kakitangan kami melakukan kerja mereka dan tidak perlu untuk menjawab apa-apa atau meminta maaf. Kewartawanan bukanlah suatu jenayah,” katanya menerusi kenyataan.
Pada 6 Julai lalu, PDRM memulakan siasatan terhadap Al Jazeera susulan penyiaran satu dokumentari yang didakwa berniat memburuk-burukkan Malaysia ketika mengendalikan wabak Covid-19 membabitkan warga asing di negara ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan dilakukan Polis Kontinjen Kuala Lumpur susulan laporan Jabatan Imigresen.
Dokumentari berdurasi 25 minit itu menerima kecaman rakyat Malaysia yang menyatakan laporan itu agak kurang tepat berhubung layanan kerajaan Malaysia terhadap warga asing ketika pandemik Covid-19.

