Pelaku hina institusi diraja patut dilucut kerakyatan

0
2

Nurul Huda Abhar

Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina Institusi-Institusi Diraja.

Pihaknya dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya penghasilan dan penyebaran video menghina sembilan Raja-Raja Melayu dan video tersebut disebarkan dalam aplikasi media sosial.

“Pelaku dengan secara jelas telah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci institusi diraja yang menjadi tunjang pembinaan negara Malaysia dengan memesong fakta sejarah.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua utama negara dan negeri-negeri di Malaysia seperti diperuntukkan dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan negeri-negeri,” katanya.

Menurut kenyataan itu, institusi raja di negara ini adalah institusi warisan sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu yang telah muncul berabad-abad lamanya.

“Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan politik, juga simbolik perpaduan

“Sehingga hari ini, Malaysia masih mengamalkan sistem pemerintah demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tindakan menghina ketua negara diibaratkan seperti menghina negara, kedaulatan dan seluruh warganegara Malaysia.

“Individu yang didapati berbuat demikian harus dikenakan tindakan serta-merta oleh pihak berkuasa termasuk dilucutkan kerakyatannya jika didapati dia adalah warganegara.

“Kami mengesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) menyiasat penghasilan video dan menghentikan penyebaran video ini kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Hari ini tular satu video seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia telah menyampaikan ucapan dengan jelas dan terang menghina sembilan Raja-Raja Melayu dan video tersebut disebarkan dalam aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Telegram.