Kluster pilihan raya dapat dielak jika bekerjasama

0
2

Pilihan raya dapat dilaksanakan jika semua pihak yang terlibat termasuk parti politik, calon dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jika semua itu dipatuhi, maka kluster Covid-19 yang baharu dapat dielakkan, kata Pemangku Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom.

Jelas beliau, pihaknya akan melaksanakan pilihan raya mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya yakin kalau semua pegawai (SPR) tahu tugasnya dan orang ramai pun boleh bantu dengan beri kerjasama, kita boleh adakan pilihan raya di mana sahaja tanpa kluster pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Mengulas mengenai tarikh PRN Sabah, Dr Azmi berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut dalam dua minggu lagi.

“Tarikh itu saya tak boleh beri apa-apa pengumuman, kita mesti ada mesyuarat khas untuk tentukan PRN Sabah,” ujarnya.

Menurutnya, SPR juga tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan pilihan raya itu dengan SOP yang tersedia kerana sudah mempunyai pengalaman ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

“Kita dah ada pengalaman di Chini dan akan ada pengalaman di (DUN) Slim, mesti yang kita risau adalah (penularan) Covid-19.

“Kita akan ikut SOP (Covid-19) yang ditentukan KKM yang kita dah amalkannya di (DUN) Chini yang akan dipakai ke (DUN) Slim dan juga di Sabah nanti,” katanya.