Gelang kedai haiwan rupanya

0
2

Dua individu yang dilihat memakai gelang merah jambu di kawasan parkir Bukit Bendera, disahkan bukan berstatus Di bawah Pengawasan (PUS) Covid-19, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Beliau berkata, sebaliknya gelang merah jambu dipakai mereka adalah gelang tangan dari sebuah kedai haiwan peliharaan dengan tulisan ‘Husky And The Gang’.

“Siasatan mendapati, lelaki berusia 21 tahun itu bekerja sebagai operator kilang dan tinggal di Permatang Tengah, Butterworth.

“Wanita itu pula berusia 22 tahun dari Sungai Puyu, Butterworth ekerja sebagai pembantu kedai dan mereka adalah pasangan kekasih serta tiada rekod jenayah,” katanya seperti dilapor BH.

Katanya, pada 2 Ogos, pihaknya menerima aduan orang awam yang melihat lelaki dan wanita memakai gelang merah jambu di kawasan parkir bukit peranginan itu pada jam 3.25 petang, sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, siasatan mendapati, pada jam 12.30 tengah hari hari berkenaan, pasangan itu mendakwa ke kedai haiwan peliharaan di New World Park sebelum dipakaikan tag atau gelang tangan berwarna merah jambu bertulisan ‘Husky And The Gang’ oleh pekerja kedai.

Berikutan pasangan itu mahu ke kedai haiwan berkenaan semula pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang terbabit, mengikut syarat yang ditetapkan premis itu.

“Pasangan itu mengakui mereka adalah individu di dalam foto tular berkenaan serta mengakui tidak pernah ke luar negara.

“Mereka berada di kaunter stesen keretapi Bukit Bendera pada jam 3 petang pada hari berkenaan dan menunggu giliran selama sejam bagi membeli tiket.

“Berikutan menunggu terlalu lama, mereka mengambil keputusan beredar sebelum pergi ke pusat beli belah Queensbay,” katanya.

Sementara itu Soffian berkata, semakan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati nama kedua-duanya tiada dalam senarai PUS atau diarahkan menjalani kuarantin di rumah.