Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbuatan dua individu menconteng mural pemimpin negara di Shah Alam bulan lalu, berkualiti rendah mengakibatkan pengecaman imej suspek sukar dilakukan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya mendapatkan khidmat profesional bagi menganalisis rakaman CCTV berkenaan.
“Polis terpaksa mengambil masa menyiasat kes ini kerana kualiti rakaman CCTV itu rendah sekali gus menyukarkan kami mengecam wajah suspek.
“Rakaman gambar itu menjadi ‘pecah’ dan tidak jelas apabila imej diperbesarkan, maka polis mendapatkan khidmat profesional untuk mendapatkan imej lebih jelas bagi mengenal pasti suspek,” katanya seperti dilapor BH.
Pada 20 Julai lalu media melaporkan dua kelibat wanita dipercayai suspek menconteng mural pemimpin negara melalui satu rakaman CCTV.
Rakaman video selama dua minit 20 saat itu menunjukkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong dinding bangunan mural sebelum kelibat dua individu terbabit muncul menconteng mural berkenaan.

