Fitri Nizam
[Parlimen] Kerajaan masih belum menyelesaikan baki bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) tertangguh, namun dijangka diselesaikan sebelum akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.
Sehingga hari ini jumlah baki bayaran balik GST itu adalah RM4.763 bilion.
Shahar berkata, antara kekakangan pembayaran balik tuntutan GST itu termasuk maklumat bank pendaftar dan tiada maklum balas daripada pendaftar untuk pengesahan dokumen berkaitan.
“Bagi tempoh 22 Jun hingga 8 Julai lalu, sebanyak RM1.479 bilion bayaran balik GST sudah dituntut dan diproses oleh kerajaan, selain tuntutan tambahan RM9 bilion oleh pemilik perniagaan.
“Kerajaan memberi jaminan bayaran balik tuntutan GST ini dibuat segera dan selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas – Kubang Pasu) hari ini.
Jun lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Jabatan Kastam diarah mempercepatkan proses bayaran balik GST yang tertangguh sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

