2,360 menara komunikasi siap dibina, 280 lagi dalam pelaksanaan

0
2

Fitri Nizam

[Parlimen] Bagi mempertingkatkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di negara, sebanyak 2,360 menara komunikasi sudah siap dibina sehingga Jun tahun ini, manakala 280 masih dalam peringkat pelaksanaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata pembinaan menara komunikasi dan menaik taraf alat pemancar di menara sedia ada sedang giat dilaksanakan.

“Sebanyak 5,348 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G, dan 11 alat pemancar komunikasi masih dalam peringkat pelaksanaan.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, kerajaan sudah melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara.

“Sehingga Jun 2020 sebanyak 639,676 sambungan telah tersedia, manakala 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Sabri Azit (PAS – Jerai) berhubung langkah untuk mengatasi masalah status liputan internet di kawasan luar bandar yang masih lemah.

Zahidi berkata, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, inisiatif penaiktarafan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik, melibatkan 933,724 pelanggan sedia ada di seluruh negara sedang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

“Jumlah ini dijangka diselaraskan dari semasa ke semasa disebabkan faktor peralihan langganan pelanggan,” katanya.