KJ: Saya nyatakan perkara yang ramai takut nak sebut

0
2

“Saya setia kepada parti. Saya cuma nyatakan perkara yang ramai sedang fikir cuma mungkin takut untuk sebut.”

Demikian jelas Khairy Jamaluddin mengenai kenyataannya bahawa Umno harus bergerak ke hadapan susulan Mahkamah Tinggi mendapati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Susulan keputusan kes Najib Selasa lalu, Khairy dilaporkan berkata walaupun semua pihak berhak memberi sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri itu, namun beliau berharap parti tidak diheret sekali dalam kes tersebut.

Memetik laporan Utusan Online hari ini, bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata susulan kenyataannya itu, beliau dikecam pelbagai pihak hingga didakwa cuba jadi ‘hero’ bagi menyelamatkan keadaan parti.

“Itu perkara biasa apabila kita sampaikan perkara yang benar tapi pahit,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu menambah, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ada mengeluarkan kenyataan sama namun tidak dikecam.

“Tengku Razaleigh cakap benda yang hampir sama. Yakni, minta pemimpin tertentu untuk memberi laluan. Tetapi beliau tidak dikecam macam saya. Mungkin mereka takut nak kecam atau perli Ku Li. Mesej sama tapi kerana KJ, pembawa mesej ditembak.

“Saya tidak kisah pembawa mesej ditembak, tapi kalau tidak menghiraukan mesej yang dibawa, Umno akan terus dipandang serong oleh rakyat.” katanya.

Beliau turut menjelaskan tiada niat bersikap biadab terhadap Najib, namun mahu Umno pandang dan bergerak ke hadapan.

Selasa lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.