Fitri Nizam
[PRN Sabah] Umno Sabah mempunyai ramai calon yang boleh diangkat sebagai ketua menteri jika parti itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Banyak calon, saya boleh, timbalan saya (Datuk Yakub Khan) boleh, Datuk Rahman (Dahlan) boleh, Datuk Hasnol (Ayub) boleh… banyak.
“Kalau boleh jadi ketua menteri 10 orang, semua boleh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Sementara itu, Bung Moktar berkata Umno Sabah akan memastikan parti itu bertanding tidak kurang daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).
Bagaimanapun, katanya, BN akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan sekutu yang lain dalam menentukan pembahagian kerusi yang akan ditandingi.
“BN Sabah, BN dan rakan-rakan lain akan bertanding di semua 73 kerusi melawan Warisan.
“Umno Sabah akan berunding dalam kalangan komponen BN dalam sehari dua ini dan seterusnya akan berunding dengan rakan-rakan yang tidak pro dengan Warisan,” katanya.
Pada PRU14, Umno Sabah bertanding 32 daripada 60 kerusi DUN dengan menang 17 daripadanya, namun kesemuanya melompat parti, kecuali bekas ketua menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Dalam PRN kali ini, jumlah kerusi DUN yang ditawarkan adalah 73 selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya, berbanding 60 kerusi sebelum ini.
Bung Moktar berkata, Umno mempunyai kelebihan berbanding parti lain memandangkan sudah bertapak puluhan tahun di negeri itu.
“Kita (Umno) ada kekuatan tetapi kita tidak mengenepikan rakan-rakan lain… semua parti ada kekuatan tersendiri,” katanya.
Bung Moktar menjangka perbincangan dan rundingan dengan rakan-rakan sekutu akan dimuktamadkan dalam masa dua minggu.
Sebelum ini, Umno dengan Bersatu mula berselisih pendapat apabila Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan parti itu akan bertanding di 45 kerusi Dewan DUN.
Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang mengingatkan Bersatu supaya “jangan bermimpi” untuk bertanding di 45 kerusi Dun Sabah.
Jumaat lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN.

