Skuad Liga Super Selangor mungkin menjadikan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.
Ia berikutan Stadium Shah Alam akan menjalani proses baik pulih dan kerajaan negeri kini mempertimbangkan beberapa kertas cadangan mengenainya.
Pada masa sama, setakat ini tiada tarikh akhir bila stadium itu yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akan dibenarkan beroperasi semula.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata buat masa ini Stadium UiTM, Shah Alam menjadi gelanggang bagi pasukan Selangor untuk baki saingan Liga M musim ini yang bersambung pada 26 Ogos.
“FAS tak mahu berada dalam keadaan tak menentu dan mengambil keputusan untuk bermain di tempat lain sambil memberi ruang dan masa untuk Stadium Shah Alam mengalami perubahan yang lebih baik.
“Apa yang kita cuba elak adalah semasa Liga M berlangsung, tiba-tiba proses penambahbaikan (Stadium Shah Alam) dijalankan,” katanya seperti dilaporkan lawan sesawang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Dr Johan lagi, keputusan memilih Stadium UiTM juga diambil selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan Liga-M berlangsung tanpa penonton.
“Pada awalnya FAS berhasrat menghabiskan semua baki perlawanan musim 2020 di Stadium Shah Alam kerana kita telahpun menjual pas bermusim kepada penyokong, tetapi MKN dan MFL telah mengumumkan Liga-M bakal dijalankan di dalam stadium tertutup.
“Kita mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal kerana komitmen menyediakan tempat duduk untuk penyokong bukan lagi fokus untuk sementara waktu,” tambahnya.

