Covid-19| Keputusan kerajaan mewajibkan orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam dan sesak adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada penularan wabak Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berharap rakyat boleh menerima serta memahami tindakan tegas yang diambil kerajaan itu.
Jelasnya, beliau percaya rakyat memahami alasan kerajaan mewajibkan semua pihak memakai pelitup muka.
“Jika kerajaan tidak bertegas, kerajaan pun boleh disaman. Oleh sebab itu, ketegasan kerajaan tepat dan kena dengan tempatnya bagi melindungi semua pihak.
“Kita tiada jalan lain dan berharap rakyat memahami dengan tidak menyalahkan kerajaan dan menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai kebiasaan baharu,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, Kota Bharu, hari ini.
Bermula hari ini, kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di tempat awam sesak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, ia membabitkan pengangkutan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta tempat awam termasuk pasar dan pasar tani.
Mereka yang didapati tidak mematuhinya boleh dikenakan kompaun RM1,000.

