Aidiladha ingatkan erti kesabaran, berlapang dada menempuh kesukaran hidup – PM

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

Hari Raya Aidiladha kali ini mengingatkan umat Islam di negara ini tentang erti kesabaran dan berlapang dada dalam menempuh kesukaran hidup, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata, rakyat di negara ini secara keseluruhannya telah melakukan pengorbanan sepenuh jiwa dan raga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa pada waktu ini.

“Alhamdulillah, hasilnya kita telah berjaya mengawal penularan wabak Covid-19. Namun begitu, saya hendak mengingatkan bahawa kita masih belum berjaya sepenuhnya dalam memerangi wabak itu. Malaysia dan banyak negara lain masih belum diisytiharkan bebas daripada pandemik ini.

“Bahkan sejak mutakhir ini, terdapat sedikit peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita. Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa. Sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha. 

Muhyiddin berkata bersempena dengan sambutan Aidiladha  sehingga 13 Zulhijjah, rakyat diingatkan agar melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Hadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan tidak melebihi 20 orang bagi seekor lembu. Anda juga tidak dibenarkan mengadakan kenduri di tempat ibadah korban dijalankan. Apabila selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing-masing.

“Di rumah pula, pastikan jumlah sanak-saudara yang datang berziarah tidak melebihi 20 orang pada satu masa. Elakkan bersalam-salaman. Jika di rumah anda ada ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah, beritahu sanak-saudara, jiran dan sahabat jangan datang ziarah. Ini bahaya,” katanya.