Tiba waktu, pilih Musa Aman atau Shafie Apdal

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

“Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, saya masih ‘caretaker’,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mengumumkan pembubaran DUN negeri itu.

Beliau yang juga Presiden Warisan, berkata apabila tiba waktu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rakyat boleh memilih siapa yang layak memimpin Sabah.

“Sampai waktu diumumkan SPR, mari kita undi. Pilihan kena tepat sama ada pilih si (Tan Sri) Musa Aman, (Datuk Seri) Bung Moktar, (Datuk Seri) Hajiji atau Shafie Apdal,” katanya dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Terdahulu, Mohd Shafie mengumumkan pembubaran Dun selepas menyatakan ia diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam pertemuan mereka, pagi tadi.

“Pagi tadi saya bertemu Yang di-Pertua Negeri dan telah diperakukan untuk bubar dewan.

“Apa pun cerita mereka mahu pergi istana mahu angkat (sumpah) sana angkat sini, Dewan sudah dibubarkan,” katanya.

Shafie berkata, tindakan yang dilakukannya adalah demi maruah rakyat Sabah.

“Saya sedar dari awal saya ada SD (surat akaun bersumpah) 45, tetapi ada yang tak kuat iman, ada yang dibeli, terbeli…dijanji jawatan.

“Hingga ada seorang YB kata bagus kraftangan orang Sabah, jadi kita ini jadi kraftangan sahaja yang mudah dibeli dan mudah dijual.

“Oleh kerana keadaan itu saya yakin orang Sabah ada maruah. Saya tahu dengan tekanan mereka lakukan dengan harapan bila mereka tekan saya, kita akan ‘uturn’ dan sokong mereka,”katanya.

Kemelut politik Sabah bermula petang semalam apabila Tan Sri Musa Aman yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu setelah mendapat sokongan Adun dari pelbagai parti.

Difahamkan, gabungan baharu berkenaan membabitkan Umno, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).