Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan layak dilantik menjadi ketua menteri negeri itu yang baru.
Beliau menerusi peguamnya mendakwa sudah menyerahkan 33 Akuan Bersumpah (SD) dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pagi tadi.
“Pagi ini, saya menyerahkan 33 surat Akuan Bersumpah, yang mengesahkan bahawa semua ADUN ini telah menarik semula sokongan mereka kepada (Datuk Seri) Shafie (Apdal), sebaliknya menyokong saya.
“Adalah amat jelas bahawa dari segi undang-undang dan perlembagaan Sabah, saya layak dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk menjadi Ketua Menteri yang baharu, katanya seperti dilaporkan BH Online.
Musa berkata, Adun yang memutuskan untuk menyokong beliau adalah berdasarkan pertimbangan mereka sendiri selepas melihat prestasi Parti Warisan Sabah (Warisan) menerajui kerajaan negeri.
“Saya menerima bahawa hari ini mengapa rakan-rakan saya yang dahulu berada di Warisan ingin mengikut saya semula kerana keadaan yang wujud pada hari ini.
“Mereka memikirkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan hari ini tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mengenai tindakan Shafie yang mahu membubarkan DUN, Musa berkata tiada sebab kukuh untuk berbuat demikian.
Katanya, tindakan pembubaran DUN atau pilihan raya hanyalah membuang masa, wang ketika pandemik COVID-19 masih melanda, yang berpotensi membahayakan rakyat.

