PH sokong Shafie, tolak politik pengkhianat

0
2

Nilam Oshman

Pakatan Harapan (PH) memberi sokongan penuh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam menangani isu rampasan kuasa dari Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) menerusi kenyataan bersama berkata mereka menyatakan sokongan penuh bagi menentang cubaan jahat, tidak demokratik dan bermoral untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan membeli wakil rakyat dan menggalakkan pembelotan oportunis.

“PH turut memberi sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini.

“Ia telah dicetuskan oleh anasir-anasir PN. Oleh itu, dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Jelas PH, hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa yang telah dilancarkan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman dengan sokongan penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mereka menambah, cubaan rampasan kuasa itu berlaku ketika negara masih dalam usaha membendung wabak Covid-19 dan ia tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Kemelut politik Sabah bermula petang semalam apabila Tan Sri Musa Aman yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu setelah mendapat sokongan Adun dari pelbagai parti.

Terdahulu, Mohd Shafie mengumumkan pembubaran Dun selepas menyatakan ia diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam pertemuan mereka, pagi tadi.