Mark Adam hubungi ibu setiap hari

0
2

Biarpun terpisah beribu batu, penyanyi, Mark Adam sentiasa bertanya khabar ahli keluarganya yang berada di bandar Cebu, Filipina.

Mark Adam atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah mengakui bimbang mengenai keadaan ahli keluarganya yang berada di kampung halaman terutama ibunya, Florinda Macaraig Echivarre, 60.

“Peningkatan kes wabak Covid-19 di sana membuatkan saya tak senang duduk. Saya hubungi mereka setiap hari bagi bertanya khabar.

“Saya sangat risau keadaan ibu dan adik beradik. Saya juga memberi nasihat supaya menjaga diri serta kesihatan. Kali terakhir saya jumpa ibu pada Januari lalu,” katanya seperti dilaporkan mStar.

Bagi Mark, berita tentang kesihatan ibu sangat penting kerana ibunya sahaja yang menjadi tempat menumpang kasih selepas kehilangan bapanya.

Pelantun lagu ‘Marry Me, Marry Me’ tersebut turut berasa lega kerana ibunya telah berpindah ke kawasan perumahan yang lebih teratur dan mempunyai kawalan keselamatan lebih baik.

Beliau turut mengucapkan syukur kerana mempunyai adik-beradik yang boleh menjaga ibunya di kampung serta tidak pernah putus memohon doa agar ibu dijauhkan daripada jangkitan wabak berkenaan.

Mark yang telah menetap di Malaysia selama 12 tahun dan berkahwin dengan Norazah Redzuan, juga sebagai pengurusnya akan muncul dengan Single terbaharu, Teh Terakhirku, gandingan bersama Shuib Sepahtu dan Zynakal.