Saya kecewa – Najib

0
2

Datuk Seri Najib Razak mengakui kecewa dengan keputusan penghakiman yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta terhadapnya atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu yang kelihatan tenang berkata beliau mahu meneruskan usaha untuk membersihkan namanya.

“Ini bukan pengakhiran dunia… saya akan merayu,” katanya dalam sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, malam ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata oleh kerana kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Rayuan, beliau tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenainya.

“Keputusan hari ini dibuat oleh seorang hakim sahaja. Mudah-mudahan di peringkat Mahkamah Rayuan nanti kita dapat hujahkan fakta-fakta,” katanya.

Ditanya sama ada beliau merasakan dianiaya, Najib berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

Mengenai kemungkinan Umno akan membuat keputusan berhubung kedudukan dalam parti, bekas Presiden Umno itu berkata: “Saya orang parti dan saya akan bantu parti.”

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Najib menangguhkan pelaksanaan hukuman ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan kelak.