Rakyat Malaysia dikuarantin kena bayar RM2,100 – Ismail Sabri

0
2

Covid-19 | Anggaran kos bagi setiap individu rakyat Malaysia yang dikuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan adalah RM4,700.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu membayar maksimum RM2,100 atau 44.7 peratus daripada keseluruhan kos untuk caj bilik hotel dan makan tiga kali sehari.

Kerajaan pula, katanya, menanggung baki kos RM2,600 (55.3 peratus) termasuk kos pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke stesen kuarantin, kos makan minum serta peralatan perlindungan diri (PPE) petugas kesihatan.

“Selain itu, ia merangkumi keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan ‘decontamination’ di stesen kuarantin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 1,631 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di sembilan stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Mereka pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab
Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

“Semalam PDRM telah melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya.