Kesalahan Najib adalah percaya orang – Muhammad Shafee

0
2

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa kesalahan Datuk Seri Najib Razak, yang didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan hari ini, adalah semata-mata kerana amat mempercayai orang.

Peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas Perdana Mneteri itu sanggup dipersalahkan kerana kesalahan beliau dalam mempercayai orang yang seharusnya menguruskan syarikat berkenaan – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga SRC International Sdn Bhd.

“Dalam keadaan tertentu, percayanya keterlaluan,” kata Muhammad Shafee yang dipetik dari laporan Bernama.

Najib didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) pengubahan wang haram, dan menyalahgunakan kedudukannya, melibatkan wang RM42 juta dalam dana SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee berkata, anak guamnya telah melalui pelbagai bentuk hukuman, apabila beliau didakwa di sekurang-kurangnya empat mahkamah, sebagai tambahan diburu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“(Tuntutan) wang dalam jumlah yang terlalu besar hingga tidak masuk akal dikenakan terhadapnya sebagai tunggakan cukai atau pendapatan yang dikenakan cukai, sehingga RM1.69 bilion – jumlah yang amat mengejutkan bagi seorang individu,” katanya dan merayu supaya hukuman dijalankan serentak.

Muhammad Shafee dalam memohon hukuman ringan turut menceritakan perjalanan politik Najib di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebelum hakim menjatuhkan hukuman terhadap bekas Presiden Umno itu.

“Najib merupakan Menteri Besar yang paling muda dalam negara pernah dilantik ke jawatan itu, semasa umurnya 29 tahun, dan pernah menerajui beberapa kementerian sepanjang perjalanan politiknya, di samping menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun,” katanya.

“Beliau turut memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis semasa dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan,” tambahnya.