Disangka lemas, rupa-rupanya 27 etnik Rohingya yang dilaporkan hilang di perairan Langkawi kelmarin, sebenarnya berada dalam keadaan selamat dan telah manyusup ke negara ini secara haram.
Mereka ditemui bersembunyi di Pulau Rebak Besar berhampiran Langkawi jam 6.15 petang semalam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Mereka terdiri daripada 13 lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kesemua migran tersebut dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan.
Katanya, pada mulanya pasukan operasi mendapat aduan dari seorang nelayan tempatan yang menemui seorang lelaki etnik Rohingya di Pulau Rebak Besar, sebelum bot Kilat APMM dihantar ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata hasil siasatan lanjut, lelaki berkenaan memaklumkan ada 26 lagi migran bersembunyi di pulau itu.
“Berikutan itu, Bot Kilat dan Kapal Maritim (KM) Gagah bersama aset TLDM melakukan pencarian sebelum menemui 26 lagi migran berusia antara lima hingga 45 tahun,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mohd Zawawi berkata siasatan awal mendapati migran tersebut terjun dari sebuah bot nelayan sebelum berenang ke pulau berkenaan.
“Kita masih menyiasat sejak bila mereka berada di pulau itu dan bagaimana berjaya lolos masuk ke perairan negara.
“Siasatan mendapati migran ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua tekong darat atau ‘dallal’ yang ditangkap dalam operasi melibatkan lima agensi, 21 Julai lalu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya sebuah bot nelayan sepatutnya datang mengambil mereka, tetapi hilang arah kerana dua tekong darat telah ditahan menyebabkan seorang berenang menuju kawasan ‘breakwater’ (pemecah ombak) di Kuala Chenang.
Sejak malam kelmarin, APMM menjalankan operasi mencari dan menyelamat susulan laporan 24 migran etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat, Langkawi.
Maklumat mengenainya diterima daripada seorang etnik Rohingya dikenali Nor Hossain, 27, yang juga migran memaklumkan dia terjun dari sebuah bot membawa 24 etnik terbabit dan mendakwa hanya dia yang terselamat.
Susulan itu, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengatur gerak bot Pelindung 2 ke lokasi, sejurus menerima laporan polis pada 10.30 malam.
Operasi diteruskan lagi semalam melibatkan dua aset kapal KM GAGAH dan bot Pelindung 2 serta sebuah helikopter Agusta Westland, AW139 dengan sektor carian merangkumi kawasan seluas 109 batu nautika persegi.

