Umno Perak menyenaraikan lebih tujuh calon untuk dipertimbangkan oleh Umno Pusat sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 26 Ogos ini.
Pengerusi Umno negeri, Datuk Saarani Mohamad seperti dilaporkan Sinar Harian berkata pihaknya mengambil kira semua pandangan dan cadangan dikemukakan oleh pelbagai pihak.
“Maklumat mengenai calon-calon ini kita kumpulkan dan kita serahkan kepada pimpinan tertinggi untuk meneliti calon yang sesuai,” katanya selepas mesyuarat Umno negeri di Ipoh malam tadi.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 15 Julai lalu.
Sementara itu, Saarani berkata pihaknya menghargai sokongan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengumumkan Perikatan Nasional (PN) hanya meletakkan satu calon pada PRK Dun Slim.
“Pengumuman itu kita hargai sebab pada PRU14 calon PH (Pakatan Harapan) diwakili oleh Bersatu, sekarang Bersatu tidak lagi bersama PH maka sewajarnya sokongan diberikan Menteri Besar Perak itu kita terima baik.
“Sepatutnya semua penyokong Umno, BN, Pas dan Bersatu memberi sokongan padu kepada calon BN seperti mana yang berlaku di PRK Chini. Insya-Allah kita akan menang besar,” katanya.
Beliau berkata bagi menghadapi PRK itu, jentera kempen pilihan raya UMNO Perak akan digerakkan sepenuhnya mulai esok.
Katanya, selain semua cawangan di DUN Slim, cawangan lain dalam Bahagian Tanjung Malim turut membantu melancarkan kempen.

