Anwar ingatkan ahli PKR tentang ‘perjuangan jalanan’

0
2

#Pesan Anwar kepada ahli-ahli PKR

Selepas gagal menjadi perdana menteri, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan ahli parti itu tentang sejarah perjuangan mereka yang bermula di jalanan.

Beliau mengingatkan pemimpin cabang PKR supaya tidak mengikut perangai Umno yang mencantas ahli berpotensi untuk pergi jauh.

“Semasa di jalanan apa kita marah? Isu kroni. Bila berkuasa kita hilang prinsip itu.

“Sebab itu saya kata orang lama belum tentu akan kekal berprinsip.

“Ada yang masuk kerana kerlipan kuasa, ada orang baru masuk PKR kerana faham dengan perjuangan. Parti ini kekal dianggap relevan kerana kita bercakap soal reformasi,” katanya pada Konvensyen Penerangan Keadilan di Ampang, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata PKR tidak menghalang mana-mana pemimpin untuk meninggalkan parti itu.

Jelas Anwar, ramai pemimpin parti itu yang lurus ketika dalam kesusahan tetapi gagal ketika senang.

“Dengan adanya pembersihan ini, kelompok yang sebelum ini gelisah sudah kembali semula kepada parti malah anak muda juga mula sertai cabang PKR.

“Mereka yang keluar itu kini tengah mencari di mana mahu bertanding (dalam pilihan raya nanti).

“Mereka yang keluar itu juga kini lebih banyak senyum dan bukan marah lagi dengan saya,” katanya lagi.

Sebelum ini bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membawa keluar “pasukannya” daripada PKR.

Kumpulan Azmin kemudian menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin antara yang turut bersama Azmin meninggalkan parti itu.