Siasat dalang hantar individu desak, ugut Adun

0
2

Nilam Oshman

Siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap tindakan pihak tertentu yang mengganggu dan mengugat ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan Sabah, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Shafie, laporan polis telah dibuat dan diharap siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menghantar individu tertentu bagi mendesak serta mengugut Adun kerajaan.

“Saya difahamkan ada Adun yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah. Kalau mahu masuk dalam rumah sekali pun, kena ada waran yang sah untuk mengetahui tujuannya.

“Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, ia sudah berulang kali dan ini menganggu, mengugat ketenteraman individu,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin ada pihak lain di belakang mereka dan tertanya-tanya motif pihak berkenaan.

“Dikatakan ada orang jumpa Yang Berhomat (YB) kerajaan. Wakil siapa dia? Siapa dia yang jumpa YB itu.

“Adakah mereka ini mahu membentuk kerajaan atau mahu menjadi ketua menteri dan mahu jadi kerajaan pemerintah.

“Kepada sesetengah pihak yang mungkin lupa bahawa negara ini mempunyai undang-undang dan tindakan mengganggu gugat ketenteraman wakil rakyat sehingga datang ke rumah perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, keadaan ini boleh menjejaskan ketenteraman keadaan di peringkat negeri dan negara.

“Jika wakil rakyat itu redha untuk beralih sokongan, tiada masalah kerana kita juga tidak mahu memaksa. Macam Limus Jury dan James Ratib mahu masuk (parti pembangkang di Sabah) masuklah, saya tidak paksa.

“Kita tidak mengugut orang, itu amalan kita dalam mematuhi perjalanan undang-undang yang ada.

“Saya harap pihak berwajib membuat siasatan lanjut mengenai perkara ini dan kita mahu lihat apa penemuan mereka, ke arah mana dan siapa sebenarnya menyuruh mereka untuk membuat desakan seumpama ini,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan ada cubaan membeli Adun.

“Namun jika orang itu tidak mahu dibeli, cukup-cukuplah. Mereka ini bukan untuk dijual.

“Amalan membeli Adun ini adalah amalan tidak sihat dan yakin Adun kerajaan cukup matang untuk membuat keputusan.

“Tapi, saya dengar yang melompat ini mahu u-turn juga. Tidak tahu betul atau tidak, ini cakap-cakap sahaja,” katanya lagi.

Beliau menggesa pihak terbabit agar berhenti melakukan perkara seperti ini kerana ia juga akan menganggu ketenteraman rakyat.

“Apa juga keadaan yang berlaku, biarkan kami mentadbir negeri dan mententeramkan rakyat di peringkat bawah yang sudah pun bingung berdepan dengan Covid-19, ini pula bingung dengan pelbagai tekanan.

“Saya akan bersuara dalam Parlimen nanti kerana untuk bercakap di luar susah sikit, ada kekangan dan halangannya,” katanya.