PRK DUN Slim, PN hanya letak seorang calon

0
2

Perikatan Nasional (PN) hanya akan meletakkan seorang calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan depan, kata Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, keputusan itu adalah bagi mengelakkan pertembungan antara parti komponennya yang terdiri daripada Bersatu, BN dan PAS.

“Alhamdulillah, hari ini PN bersatu hati untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pertembungan di antara parti komponen dalam PRK itu nanti.

“Kita hanya akan memilih seorang calon dan semua parti komponen akan beri sokongan penuh kepada calon itu nanti,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi PRK DUN SLIM pada 15 Ogos depan manakala tarikh mengundi awal 25 Ogos dan hari mengundi 29 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong apabila penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang kerana mengalami serangan jantung.