NCIA lulus pelaburan sebanyak RM17.25 bilion

0
3

PIHAK Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion sejak Januari sehingga 31 Julai lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaburan itu akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

Menurutnya, pelaburan berkenaan disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

“Ia sekaligus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota NCIA Kali Ke-29, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Exco Negeri Kedah Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

Katanya, NCIA bersama Kerajaan Negeri memberi tumpuan mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

“Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata, Mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

“Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, Mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

“Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here