Kes SRC : Segala ruang, peluang sepatutnya dipertimbangkan – Tok Mat

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

UMNO mahukan kebenaran dan keadilan terhadap rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak diangkat dengan selayaknya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sekali pun kecewa dan terkilan namum Umno tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang diberikan semalam.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu bagi memasukkan beberapa keterangan (bukti) bagi membuktikan wujud potensi berlakunya konflik kepentingan melibatkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Dalam permohonan tersebut, telah dihujahkan secara mendalam dan kukuh bahawa segala keterangan baharu yang hendak dimasukkan tersebut akan menunjukkan dengan jelas bahawa wujud pengetahuan dan/atau penglibatan Mohd Nazlan dalam kes berkaitan SRC/1MDB,

“..yang sekali gus menyebabkan kebebasan beliau sebagai hakim, berpotensi untuk tergugat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, Umno berpandangan segala ruang dan peluang yang ada sepatutnya dipertimbangkan dan tidak diketepikan atas alasan teknikal.

Ujar beliau, terutamanya dalam kes besar yang melibatkan pelbagai isu yang rumit; dokumen yang pelbagai; saksi yang ramai serta kewujudan ruang atau” potensi konflik kepentingan.

“Sekali pun Umno bersetuju dan menghormati maksim undang-undang bahawa, justice delayed is justice denied, Umno turut memandang berat penegasan maksim yang menyatakan bahawa justice hurried is justice buried.

“Biar apa pun pandangan dan pendirian parti ini, keyakinan kami terhadap institusi kehakiman negara tidak pernah pudar. Kami yakin dan percaya bahawa organ penting negara ini akan melunaskan tanggungjawabnya pada tanahair dengan sebaik-baiknya.

“Kami memanjangkan sokongan dan doa yang tidak putus-putus kepada Datuk Sri Najib. Semoga segalanya dipermudah dan kebenaran serta keadilan akan tertegak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here