Beri ruang PM urus negara dengan cara sendiri – Khaled Nordin

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi ruang menguruskan negara dengan cara tersendiri, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, ia termasuk isu kenaikan harga barang dan inflasi yang menjadi fenomena global akibat pelbagai elemen di luar kawalan kerajaan.

Katanya, semua pihak harus mengiktiraf keputusan kerajaan dalam usaha memastikan kos sara hidup tidak membebankan.

“Bukanlah mudah untuk kerajaan memutuskan hampir RM80 bilion dibelanjakan untuk membiayai subsidi pelbagai komoditi dan barangan keperluan rakyat bagi tahun ini. Ia hampir sepertiga dari perolehan negara. Jumlah yang sangat besar ini bermakna kita terpaksa mengorbankan banyak keperluan pembangunan yang sangat diperlukan.

“Begitu juga keputusan beliau (Ismail Sabri) menghapuskan AP bagi import bahan makanan. Ia adalah langkah sangat berani dan tepat bagi mengatasi segala masalah kecukupan makanan yang kita hadapi. 

“Apalagi bila AP seperti suatu ‘sumpahan’ yang semua orang ingin menghindari dari menyentuhnya selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri turut melakukan beberapa pembaharuan politik radikal ketika mengambil alih pentadbiran kerajaan termasuk rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang diluluskan baru-baru ini.

Menurutnya, adalah sangat penting menghargai kejayaan Perdana Menteri membanteras kecurangan politik dengan lulusnya RUU antilompat parti itu.

“Kejayaan ini sangat istimewa kerana setelah begitu lama, ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau.

“Sekarang kerajaan beliau sedang mempercepatkan RUU Pendanaan Politik. Semua ini adalah perkara yang tidak mungkin terjadi tanpa kemahuan politik dan kepemimpinan yang fokus.

“Komitmen beliau untuk memastikan laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum, wajar juga diberikan pengiktirafan,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Perdana Menteri jelas bersungguh untuk menangani isu LCS ini dengan telus dan mengikut lunas undang-undang.

“Terkadang, amat mudah untuk kita bersikap sinis dengan pemimpin kita. Namun janganlah sehingga menjadikan kita tidak lagi objektif dan gagal bersifat rasional.

“Sesungguhnya bukanlah mudah mengemudi negara dalam keadaan yang sangat mencabar sebegini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here