Rayuan terakhir Najib dijangka diketahui petang ini

0
2

HAKIM Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bertanggungjawab mamaklumkan jawatannya sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank kepada semua pihak dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International.

Menurut peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik pihaknya mengakui jawatan itu berada dalam pengetahuan awam, namun apa yang dipertikaikan ialah tindakan Mohd Nazlan tidak mendedahkannya dalam perbicaraan.

Hisyam berkata, permohonan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan adalah bagi memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan, bukan untuk mempertikaikan mengenai jawatan pernah dipegangnya tetapi tindakan yang sepatutnya diambil.

“Apabila tindakan (mendedahkan) ini tidak dilakukan, maka akan timbul syak wasangka. Syak wasangka ini sudah cukup untuk menunjukkan terdapat bahaya berat sebelah di pihak hakim bicara.

“Kami memohon mahkamah membenarkan permohonan kami supaya keterangan ini dibawa masuk sebagai bukti tambahan.

“Ia akan menunjukkan kekuatan mahkamah ini bahawa ia bersedia untuk campur tangan apabila jelas di hadapannya terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan menolak afidavit untuk memasukkan bukti tambahan berhubung Mohd Nazlan.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang memulakan hujahan dalam prosiding hari ini, berkata kandungan afidavit berkenaan hanya tuduhan semata-mata yang bukan sahaja tidak berasas malah tidak disokong bukti kukuh.

Beliau berkata, mahkamah boleh mengarahkan afidavit itu ditolak kerana ia juga tidak mengikut peraturan undang-undang, di mana kandungannya bukan berdasarkan pengetahuan peribadi pemohon tetapi hanya bukti dengar cakap semata-mata.

“Persoalan undang-undang di sini ialah kami menyatakan bahawa kandungan afidavit ini tidak relevan sama sekali dengan rayuan akhir yang dihadapi pemohon.

“Oleh itu, mahkamah boleh mengarahkan afidavit ini ditolak dengan alasan ia tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dihadapinya (Najib).

“Atas alasan ini sahaja, permohonan notis usul ini sepatutnya ditolak… Ia tidak mengemukakan bukti berat sebelah atau konflik kepentingan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan sedang berhenti rehat seketika sebelum membuat keputusan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here