PERJUANGAN Pemuda Umno Malaysia melalui Sekretariat Pekerja Muda, Persatuan Penghantar dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diteruskan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penghantar makanan (p-hailing).
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia diteruskan dengan sesi libat urus bersama Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPPM, Khalid Jali, semalam.
Menurutnya, sesi libat urus itu berlangsung selama hampir 90 minit dan membincangkan tentang keluhan penunggang p-hailing tentang ketidakadilan kadar bayaran tambang dan peta dalam aplikasi tidak tepat.
“Ada tiga perkara utama yang dicadangkan iaitu menyegerakan proses untuk mengiktiraf penunggang penghantar sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan 11 Akta lain yang berkaitan dengan perlindungan pekerja.
“Memastikan kadar bayaran tambang kepada rider penghantar menepati Perintah Gaji Minimum 2022 iaitu RM 1500 sebulan atau RM7.21 sejam. Ini juga termasuk isu kadar bayaran tambang untuk pesanan berganda.
“Memastikan penunggang p-hailing mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 iaitu mewajibkan semua penunggang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan Akta berkenaan perlu perhatian serius daripada Kementerian Sumber Manusia.
Menurutnya, Sekretariat Tuntutan Hak Penghantar juga berpeluang menyerahkan Kertas Cadangan Pelan Penambahbaikan Eko-Sistem Ekonomi GIG P-Hailing Penghantaran Barangan dan Makanan kepada wakil Menteri Sumber Manusia.
“Insya-Allah Pemuda Umno melalui Sekretariat Pekerja Muda yang dipengerusikan Fairuz Jamaludin akan terus memantau segala yang dipersetujui.
“Ia demi memastikan hak, kebajikan dan keselamatan anak muda yang terlibat dalam industri p-hailing ini sentiasa terbela dan terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

