DATUK Seri Najib Razak mempertahankan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kini dikecam atas dakwaan melanggar arahan kuarantin selepas pulang dari Sabah.
“Ramai yang maki dia langgar kuarantin selepas pulang dari Sabah. Lalu dia menghadiri banyak acara awam.
“Tapi dia pulang dari Sabah pada 24 September iaitu sebelum arahan saringan dan kuarantin wajib bagi semua yang pulang dari Sabah dikeluarkan pada 26 September,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah penyokong Pakatan Harapan (PH) dan NGO seperti Aliran dan BERSIH membantah cadangan Menteri Kesihatan melaksanakan kuarantin wajib.
Katanya, tindakan itu akan menghentikan penyokong PH dari Semenanjung untuk pulang mengundi.
“Masa itu, PH kata mereka sanggup mati daripada menyerah kuasa kepada PN. Lalu mereka memaksakan PRN Sabah walaupun dibantah kuat BN.
“Saya percaya kerajaan PN terpaksa tunduk pada ugutan ini sebab tidak mahu PH menjadikan ini sebagai satu isu hangat PRN dengan menuduh kerajaan pusat PN telah membelakangani demokrasi serta merampas hak mengundi warga Sabah.
“Jika masa itu PH menyokong kerajaan PN untuk mulakan kuarantin wajib lebih awal dan tidak membantah, lebih ramai kes Covid-19 di Semenanjung yang berasal dari Sabah mampu dielak,” katanya.
Najib seterusnya berkata, kerajaan PN juga patut membenarkan undi Pos bagi warga Sabah di seperti apa yang kerajaan BN pernah laksanakan bagi pengundi di luar negara pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Jika kita boleh buat untuk pengundi di luar negara kenapa kita tak boleh buat bagi pengundi di luar negeri? Kerajaan PN juga tak patut mengeluarkan arahan kuarantin tiga hari sahaja.
“Patut wajibkan 14 hari sebab itu adalah tempoh inkubasi Covid-19 walaupun ramai yang pilih (termasuk saya) untuk kuarantin diri secara sukarela selama 14 hari.
“Tapi nasi dah jadi bubur. Namun PH dan PN tidak patut mengulangi kesilapan besar ini pada masa depan,” katanya.
Beliau juga mendoakan agar Dr Zulkifli pulih sepenuhnya dengan secepat mungkin.
Semalam, Dr Zulkifli maklumkan beliau disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau juga meminta orang ramai yang hadir majlis melibatkan kehadiran beliau dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera. – Malaysiapost

