Kertas Putih Kesihatan tepat pada masanya – PM

0
2

PEMBANGUNAN Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran tahun-tahun mendatang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, Kertas Putih itu bukan sahaja menumpukan kepada transformasi perkhidmatan kesihatan, turut meneliti aspek-aspek lain yang membawa impak kepada kesihatan Keluarga Malaysia.

“Harapan saya dalam usaha mencorakkan semula sistem kesihatan negara: Pertama, sistem kesihatan negara menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit.

“Kedua, sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mampan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global.

“Ketiga, sistem kesihatan negara menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia kerana merasakan mereka adalah sebahagian daripadanya dan juga menghargai peranannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau terdahulu Merasmikan Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022: Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan di ibu negara hari ini.

Menurutnya, Keluarga Malaysia juga perlu membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, pupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

Sementara itu, beliau berkata selepas lebih dua tahun seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, satu perancangan komprehensif dan menyeluruh perlu dibentuk supaya kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal utuh pada masa hadapan.

“Cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang dijangkakan pada masa hadapan, patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here