Kes SRC : Najib tiba di mahkamah pagi ini

0
2
najib razak

BEKAS Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, hari ini bagi sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang tiba di pekarangan mahkamah jam 9.10 pagi akan mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, bagi sabitan kes tersebut.

Kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri itu juga dilaporkan berkumpul di sekitar mahkamah sejak jam 8.30 pagi.

Najib dan pasukan peguamnya daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, dilaporkan bakal mengemukakan kekhilafan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pendakwaan yang menafikan hak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ia dianggap menyebabkan ketidakadilan serius apabila bekas Perdana Menteri itu mendakwa gagal mendapatkan perbicaraan adil dan saksama.

Berdepan peluang terakhir mempertahankan diri, perkara itu akan dibentangkan Najib melalui peguamnya, bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari, mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here