YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengesahkan kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, pada 2 Oktober lalu.
Berikutan itu, Azhar hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Pengerusi Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.
Pemberitahuan itu sekali gus membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah, dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan adanya kekosongan.
“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengeluarkan suatu pemberitahuan bertarikh 6 Oktober 2020 kepada Pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah, telah meninggal dunia pada Jumaat (2 Oktober 2020).
“Oleh yang demikian, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan bahawa ada kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -Malaysiapost

