LVG: Tangguh laksana cukai jualan e-dagang hingga ekonomi pulih  

0
2

PELAKSANAAN cukai jualan 10 peratus ke atas semua jualan secara dalam talian untuk barangan bernilai rendah (LVG) di bawah RM500 perlu ditangguhkan sehingga kemelesetan ekonomi negara pulih.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata ia perlu ditangguhkan walaupun terdapat keperluan mewujudkan ‘padang’ sama rata dengan mengenakan cukai sama ke atas pembekal asing dan tempatan.

“Kerajaan sepatutnya menangguhkan cukai jualan dalam talian 10% untuk pembekal tempatan bagi harga LVG di bawah RM500. 

“(Ini kerana) banyak pembelian dalam talian barangan bernilai rendah di bawah RM500 dibuat oleh golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DAP dan PH menentang pelaksanaan cukai baharu itu serta mencadangkan supaya cukai jualan sedia ada daripada pembekal domestik untuk pembelian dalam talian LVG di bawah RM500 ditangguhkan.

“Cukai jualan 10% ke atas semua jualan dalam talian untuk barangan bernilai rendah (LVG) di bawah RM500 perlu ditangguhkan sehingga selepas kemelesetan ekonomi yang dijangka tahun depan,” katanya.

Guan Eng berkata, rakyat Malaysia tidak memerlukan cukai baharu mahupun sebarang kenaikan kadar faedah kerana isu ekonomi sedia ada mengakibatkan kos sara hidup yang tinggi.

“Ia termasuklah harga makanan dan bahan yang melambung tinggi, kekurangan tenaga buruh yang teruk dan nilai ringgit yang menyusut dengan cepat masih belum dapat diselesaikan,” katanya.

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 untuk mengenakan cukai jualan 10 peratus ke atas pembelian dalam talian LVG bernilai di bawah RM500 yang dijual di platform dalam talian dan dihantar ke Malaysia, mulai tahun depan.

Pada masa ini, LVG yang bernilai RM500 dan ke bawah tidak dikenakan sebarang cukai apabila diimport ke Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here