Bidang kuasa SPRM terhad untuk siasat LCS – Veteran Umno

0
2

GESAAN kerajaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) segera menyiasat kontroversi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dilihat sebagai langkah proaktif, namun ia tidak mencukupi kerana SPRM memiliki bidang kuasa yang terhad.

Justeru, veteran Umno mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh projek kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekaligus mencari dalang yang menjadi punca isu itu berlaku.

Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub, berkata RCI mesti ditubuhkan dengan segera untuk menyiasat isu berkenaan bagi mencari kebenaran siapa yang bersalah di dalam pengendalian pemberian tender dan asbab berlakunya kelewatan pembinaan dan penyerahan kapal itu oleh pembekal kepada TLDM.

“Veteran mengalu-alukan langkah kerajaan yang mahukan SPRM menjalan siasatan segera. Tetapi ianya tidak cukup kerana bidang kuasa SPRM adalah terhad kepada isu rasuah.

“Apa yang kita mahu ialah satu siasatan yang menyeluruh oleh RCI dari mulanya sehingga sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapha berkata, pentingnya penubuhan segera RCI ini adalah untuk mencari punca sebenar bermulanya kontroversi yang ketika ini dimanipulasi serta disensasikan pembangkang dengan mengaitkan nama-nama pemimpin Umno.

“RCI ini amat penting bagi mencari punca sebenarnya permasalahan yang ditimbulkan oleh pembangkang dengan mengaitkan nama-nama bekas Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan zaman Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Veteran berpendapat adalah tidak adil sekiranya pembangkang dibiarkan sesuka hati membuat dakwaan dan tuduhan kononnya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ketika itu terlibat dengan rasuah dalam pemberian tender yang berjumlah berbilion ringgit,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pihaknya tidak berhasrat untuk melindungi dan membela mana-mana pihak yang terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah dalam kes LCS ini.

“Mereka yang bersalah wajib dihukum. Tetapi yang dituduh perlukan keadilan melalui satu siasatan yang telus oleh RCI.

“Sementara itu RCI wajar membuat cadangan sekiranya dakwaan pembangkang itu tidak benar dan terbukti fitnah, maka satu bentuk tindakan mestilah diambil terhadap mereka,” katanya.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan LCS yang menelan kos RM9 bilion menghadapi masalah dan masih belum dapat menyiapkan walaupun sebuah kapal sehingga hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here