MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan hasil ujian saringan Covid-19 dirinya adalah negatif.
“Pagi ini saya telah menerima keputusan ujian saringan Covid-19. Alhamdulillah, keputusannya negatif.
“Namun, saya akan terus berada di rumah menjalani pemantauan kesihatan kendiri.
“Tugasan dan komitmen kerja juga akan diteruskan dari rumah. Terima kasih semua atas doa dan ucapan selamat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengesahkan beliau positif Covid-19.
Susulan itu, semua menteri kabinet termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan semua yang menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Zulkifli pada Sabtu lalu, diarah menjalani kuarantin kendiri. -Malaysiapost

