Bot bawa 61 pendatang asing ditahan

0
2

SERAMAI 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga kru termasuk tekong berjaya ditahan dalam sebuah bot di kedudukan 2.5 batu nautika berhampiran Pulau Talang, Manjung, Perak awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, berkata bertindak atas maklumat awam pada jam 2.15 pagi semalam, Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Perak dengan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan bot tanpa nombor pendaftaran berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menahan seramai 54 lelaki dan tujuh wanita dipercayai PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dari negara jiran.

Beliau berkata, turut ditahan lelaki berusia 39 tahun selaku tekong bot dan dua lagi lelaki berusia 45 dan 40 tahun selaku kru bot yang ketiga-tiganya juga berasal dari negara jiran.

“Kesemua tahanan dibawa ke Pengkalan Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk soal siasat dan tindakan lanjut oleh agensi berkaitan.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kesemua PATI berkenaan dikenakan bayaran berjumlah RM800 hingga RM4,000 kepada ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke Malaysia.

“Tekong bot yang ditahan juga turut mengaki telah mula berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada maklumat dan kerjasama diberikan orang ramai kepada pihak polis.

“Justeru, polis berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan itu serta mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di talian 05-2401999 atau 05-2451073,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here