KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan penunggang perkhidmatan p-hailling memiliki lesen memandu vokasional (GDL) hanya menambah tekanan dan beban terhadap nasib pekerja sektor berkenaan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana menyifatkannya sebagai tindakan menekan riders yang baharu sahaja bangkit daripada impak pandemik Covid-19.
“Lesen GDL selalunya untuk muatan berat seperti lori, treler, posmen tetapi ‘rider’ hanya bawa makanan seperti M’cdonalds, Starbucks. Tak adalah nak bawa banyak sangat barang seperti untuk sebuah kenduri,” katanya menerusi video dimuatnaik di Facebook.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, alasan pelaksanaan lesen GDL itu bagi mendapatkan data adalah tidak masuk akal, kerana ia boleh peroleh menerusi syarikat pengendali p-hailing.
“Takkan lah nak bebankan riders dengan buat bayaran baru untuk kelas tambahan bahru, exam bahru hanya untuk dapatkan data.
“Solusinya senang sahaja, tanya saja syarikat penyedia perkhidmatan p-haling mereka ada segalanya. Takkan lah suruh riders buat kerja menteri,” katanya.
Justeru, Syed Saddiq menggesa kerajaan supaya bersimpati dengan nasib ‘riders’ yang bertungkus lumus mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
“Mereka kerja siang malam, pagi petang hujung minggu, panas terik. Sudah lah baru lepas musim Covid-19 pendapatan mereka teruk terjejas, dan kini kerajaan kenakan tekanan baru, bebanan baru,” katanya.
Beliau berkata, pendapatan penunggang p-haling kini terjejas teruk apabila upah lantai mereka juga diturunkan daripada RM5 untuk lima kilometer (KM) kini menjadi RM3 untuk perjalanan sama.
“Dulu apbila mereka buat ‘double’ atau ‘triple’ penghantaran dapat upah dua atau tiga kali ganda kini nak dapat sampai dua kali ganda pon susah sangat
“Dulu kita angkat ‘rider’ sebagai barisan hadapan kini kerajaan sisihkan mereka,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan mewajibkan penunggang perkhidmatan p-hailling memiliki lesen memandu vokasional (GDL), selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan. – Malaysiapost

