JIM tahan 175 PATI

0
4

SERAMAI 175 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Hentian Jalan Reko, Kajang yang bermula jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya memeriksa seramai 425 warga asing di 134 kediaman membabitkan enam blok bangunan di lokasi terbabit.

“Daripada jumlah itu, kami menahan 132 lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing terdiri daripada berusia antara dua hingga 55 tahun.

“Mereka yang ditahan membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka dan seorang warga India,” katanya yang turut hadir di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya sudah lama memantau Kompleks Hentian Kajang yang kawasan kediamannya didiami ramai warga asing termasuk dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India.

“Semasa serbuan dilakukan, anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu kediaman kerana ada di antara warga asing yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumah.

“Ada juga warga asing yang ditahan adalah pencari suaka warga Myanmar iaitu dari etnik Shan yang mempunyai surat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan sekitar.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) tinggal bersama.

“Kami juga menemui sebuah premis yang dipercayai pusat judi dalam talian, namun semua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri melalui tingkap yang diumpil.

“Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) menemui kira-kira 20 komputer riba dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – Malaysiapost

Kredit foto: Jabatan Imigresen Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here