Sasaran 6 pingat emas tercapai! – PM

0
3
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=497567738384554&set=pb.100043939969797.-2207520000..&type=3

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucap tahniah kontinjen Malaysia atas kejayaan melepasi sasaran enam pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang melabuhkan tirainya malam tadi.

Beliau mengucapkan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kementeriannya; pengurus pasukan, jurulatih dan atlet yang menjayakannya.

“Sasaran 6 pingat emas tercapai! Syabas dan tahniah juga kepada pengurus pasukan, jurulatih, atlet dan seluruh kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham,” katanya menerusi Twitter malam tadi.

Terdahulu beliau mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya menghadiahkan pingat emas ketujuh buat negara, di Sukan Komanwel 2022.

Pingat emas dalam acara badminton itu berjaya diraih selepas mereka menewaskan wakil England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 pada aksi final di National Exhibition Center di Birmingham.

“Tahniah Pearly Tan dan Thinaah atas kejayaan merangkul pingat emas dalam acara badminton beregu wanita di Sukan Komanwel 2022.

“Syabas @PejaOfPerak @KBSMalaysia @MSNMALAYSIA @BA_Malaysia. Pingat emas ketujuh Malaysia!” katanya.

Kejayaan pasangan beregu negara itu juga sumbangan pingat terakhir buat Malaysia di Sukan Komanwel 2022, yang berakhir malam tadi selepas berlangsung sejak 28 Julai lalu.

Secara keseluruhan, Malaysia meraih 23 pingat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 membabitkan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa sepanjang temasya itu, yang menempatkan Malaysia di kedudukan ke-11 daripada 43 negara.

Australia mengungguli temasya kali ini dengan 178 pingat membabitkan 67 emas, 57 perak dan 54 gangsa, manakala tuan rumah England dikedudukan kedua dengan 176 pingat membabitkan 57 emas, 66 perak dan 53 gangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here