RAFIZI Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad disaran untuk bertanding di negeri yang mereka dipertanggungjawabkan menjadi ketua PKR negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata dua pemimpin PKR itu mampu memberi kelebihan kepada parti untuk merampas kerusi-kerusi strategik terutama di Kelantan dan Johor.
“Saya mencadangkan supaya kedua-dua tokoh muda ini bertanding di kawasan strategik seperti di Johor dan Kelantan bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Kewibawaan dua tokoh muda ini sudah cukup menyerlah dan tidak sukar bagi mereka untuk menawan kerusi-kerusi di negeri strategik kerana potensi dan populariti mereka sangat dikenali rakyat.
“Saya optimis jika dua tokoh muda ini bersama dengan calon-calon muda yang lain bertanding di negeri-negeri strategik akan menyerlahkan lagi potensi Keadilan dan Pakatan Harapan untuk menawan negeri-negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR dipertanggungjawabkan mengetuai PKR Johor oleh pucuk pimpinan parti itu manakala Nik Nazmi dilantik Ketua PKR negeri Kelantan.
Nik Nazmi merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa, manakala Rafizi pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan selepas menang kerusi tersebut pada PRU14.
“Keadilan kini memasuki fasa pengukuhan dengan saf kepimpinan baru mula mengorak langkah bagi mendepani pilihan raya umum.
“Strategi untuk meletakkan pemimpin muda bagi mengetuai jentera parti di negeri-negeri seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu adalah strategi yang ampuh bagi menarik semula sokongan rakyat.
“Kelantan dan Johor misalnya adalah dua negeri strategik yang perlu diberi perhatian khusus dengan meletakkan tokoh-tokoh muda yang berwibawa dari Keadilan,” kata Syed Badli Shah lagi. -Malaysiapost

