Pelancong Perancis maut panjat gunung

0
2

Ben Ibrahim

SEORANG pelancong lelaki dari Perancis meninggal dunia ketika sedang mengikuti aktiviti memanjat gunung di Gunung Jasar, dekat Cameron Highlands, Pahang, pagi tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia selepas pengsan ketika hampir tiba di puncak gunung itu.

“Mangsa bersama lapan lagi pelancong dan seorang pemandu arah memulakan pendakian kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

“Pusat gerakan operasi bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.28 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi membantu mangsa.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang turut sama dalam operasi itu,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Ismail berkata, berdasarkan butiran pada pasport milik mangsa, nama mangsa ialah Marc Antoine berasal dari Nantes, Perancis.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Turut terbabit dalam operasi itu ialah tiga anggota polis dan empat anggota dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here