TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan di dalam projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) disiasat dan pihak yang bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, TLDM mengambil maklum dan melihat daripada sudut positif terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek perolehan LCS yang dikeluarkan pada 4 Ogos lalu.
Pasukan keselamatan itu turut mengalu-alukan syor dikemukakan oleh PAC dan mahukan hala tuju terbaik bagi projek berkenaan.
“TLDM ingin menekankan bahawa perolehan LCS ini merupakan perolehan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
“Keupayaan tempur yang perlu dimiliki TLDM mestilah sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategi dan geopolitik serantau,” menurut kenyataan itu.
TLDM turut menghargai keputusan kerajaan untuk meneruskan projek berkenaan dan berpandangan ia adalah keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara.
“TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan di dalam projek ini disiasat, seterusnya pihak-pihak yang terbukti terbabit dengan perkara ini dibawa ke muka pengadilan seberapa segera.
“Sebagai pengguna akhir, kelewatan pelaksanaan projek ini telah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malah kepada moral warga TLDM yang memerlukan kapal-kapal LCS ini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.
“Sehubungan itu, TLDM ingin menyeru semua pihak agar berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

