PELANTIKAN Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor mencipta minat pengundi muda dan rakyat Selangor, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Beliau berkata, sebagai tokoh perbankan yang diberikan ruang untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan, secara tidak langsung menjadikan pelantikan Tengku Zafrul pantas mencetus minat di media sosial.
Namun, katanya, terdapat anggota parti politik tertentu yang berlebihan dan melampau dalam memberi komentar dan pandangan, ada yang kekurangan modal sehingga mengaitkan persoalan ‘adab’ dan ‘budi’.
“Barangkali kerana adab dan budilah, Zafrul memilih Umno dan BN. Parti dan pentadbiran yang telah melorongkan beliau di tampuk dunia korporat selama ini. Naif benar pandangan dan perspektif politik; jika gagal melihat betapa akrabnya Zafrul dengan Umno dan BN selama ini.
“Agak janggal sebenarnya melihat kumpulan yang melontarkan pelbagai tuduhan dan perspektif negatif kepada Zafrul – mereka yang kononnya ‘demokratik’ dan punya pandangan politik yang maju dan liberal,” katanya menerusi Facebook.
Reezal Merican berkata, sebagai tokoh perbankan berjaya, piawaian dan nilaian politik Tengku Zafrul pastinya lebih kukuh dan berasaskan fakta.
“Jika asas dan akar keyakinan beliau bersama Umno dan BN; siapa sahaja yang mampu menidakkannya?
“Tengku Zafrul pastinya yakin inilah ruang dan peluangnya memberi ‘khidmat’ lebih baik kepada negara dan bangsa. Bukan platform dan medan politik yang lain.
“Adat sepanjang jalan; cupak sepanjang betung, penampilan wajah dan tenaga profesional seperti Tengku Zafrul akan mengukuh dan memperkuat Umno dan BN. Inilah yang merisaukan dan mewujudkan resah khuatir dalam kalangan kelompok tertentu,” katanya.
Beliau berkata, mengaitkan pilihan wadah politik dengan soal ‘adab’, ‘budi’ dan ‘jasa bakti’, merupakan hujah yang terdesak.
“Tengku Zafrul punya ruang seluas mungkin untuk menampilkan keperibadian yang baik; membalas budi dan jasa bakti kepada negara dan bangsa; bersama Umno dan Barisan Nasional.
“Sedikit pesan saya kepada Tengku Zafrul, dalam bahasa orang lama, ‘Jangan didengarkan siul ular’ – tetapkan pendirian dan teruskan perjuangan dengan pilihan yang telah dibuat.
“Nawaitu berpolitik mestilah berasaskan keinginan; tika hujan, jadi tempat berteduh; tika panas, jadi tempat berlindung. Adab tidak wajar dinilai oleh mereka yang mempunyai sangkaan jahat dan busuk hati,” katanya. – Malaysiapost

