SEMUA negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) diarah melakukan langkah meminda undang-undang tubuh atau enakmen negeri setelah Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti selesai digazetkan.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beberapa ketetapan lain juga diputuskan dalam mesyuarat berkenaan termasuk tarikh-tarikh Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung.
“Persidangan Umno Cawangan diadakan 15 Ogos hingga 18 September 2022; Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian pada 7,8 dan 9 Oktober 2022; Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022; manakala Perhimpunan Agung Umno pada 23 hingga 26 November 2022.
“Tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung; tiada pemilihan jawatan di semua peringkat pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, MKT turut memperakukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan Umno yang berkuatkuasa mulai 29 Julai 2022.
“MKT merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan yang diberikan itu,” katanya.
Selain itu, menurutnya MKT Umno juga menggesa agar jentera parti di semua peringkat menumpukan kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bila pun tarikhnya yang akan ditentukan. – Malaysiapost

