JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 44 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan sebuah kelab malam terkenal di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata wanita asing yang ditahan itu terdiri daripada 43 warga Thailand dan seorang warga Laos.
Menurutnya, turut ditahan tiga lelaki warga asing pekerja am pusat hiburan berkenaan membabitkan dua warga Bangladesh dan seorang Pakistan, selain tiga warga tempatan dipercayai penjaga premis membabitkan dua lelaki dan seorang wanita.
“Operasi yang dijalankan oleh sepasukan 27 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya bermula pada jam 1 pagi tadi.
“Serbuan adalah susulan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan seramai 150 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 50 individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun telah ditahan.
“Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.
“Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi yang dijalankan adalah GRO berkenaan akan berdiri di atas pentas untuk pengunjung memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan dikehendaki.
“Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1000 ke RM1500 satu malam.
“Semakan awal mendapati wanita-wanita ini memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, namun kemudahan Imigresen yang diberikan ini telah disalah guna,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala tiga warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen. – Malaysiapost

