ATLET pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi semakin menghampiri rekod 200 meter (m) kebangsaan apabila memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia, pagi tadi.
Muhammad Azeem, 18, mencatat 20.83 saat (s) ketika memenangi saringan tiga pusingan awal di Stadium Olimpik Pascual Guerrero sekali gus mengesahkan tempat dalam kalangan 24 pelari terbaik ke separuh akhir.
Catatan peribadi terbaik atlet kelahiran Perak itu sebelum ini ialah 20.89s iaitu masa kedua terpantas dalam acara 200m negara, selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib dicipta pada 2019.
Dalam separuh akhir selepas itu, Muhammad Azeem menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua.
Dia mencatatkan 20.97s sekali gus tidak berjaya untuk meneruskan kemaraan ke aksi akhir.
Semalam, Muhammad Azeem mendapat tempat kelima dalam acara 100 meter Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 selepas mencatatkan 10.14s.
Kelmarin Muhammad Azeem mencipta sejarah apabila meleburkan rekod 100 m kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat. – Malaysiapost

