Berbanding MRT, sistem bas awam lebih murah – Syed Saddiq

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menggesa kerajaan mengkaji semula kos pembinaan Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) yang dianggarkan menelan belanja RM50.2 bilion.

Beliau berkata, kos keseluruhan itu bagi laluan sejauh 53 kilometer (km) perlu diteliti semula kerana ia membabitkan wang rakyat.

“RM50.2 bilion untuk bina 31 stesen MRT3 sejauh 53 kilometer. Anggaran perbelanjaan adalah sekitar RM1 bilion untuk setiap kilometer.

“Walaupun saya sokong naik taraf sistem pengangkutan awam (saya pun selalu naik LRT), tapi kerajaan kena kaji juga perbelanjaan sampai RM50.2 bilion untuk jarak 53 kilometer ini.

“Ramai cadangkan untuk kerajaan fokus kepada sistem bas awam yang lebih murah, akses yang lebih luas dan boleh dibina di lebih banyak bandar,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan turut membuat perbandingan sistem bas awam (BRT) di Jakarta Indonesia, yang menelan kos sekitar RM4.9 bilion bagi jarak lebih 225km.

“Saya buat perbandingan pula dengan sistem bas awam (BRT) di Jakarta. Di Jakarta, sistem Transjakarta BRT yang memakan kos US$1.1 bilion (sekitar RM4.9 bilion) untuk jarak lebih 225km dan dapat menampung 700,000 penumpang sehari.

“Di Malaysia, RM50.2 bilion untuk jarak 53 kilometer. Ini duit rakyat. Kena rancang betul-betul sebelum belanja besar. Tepuk dada semaklah fakta yang ada,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menganggarkan projek MRT3 membabitkan belanja RM50.2 bilion secara keseluruhan, dengan anggaran kos pembinaan sahaja mencecah RM34.3 bilion.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM8.4 bilion membabitkan kos pengambilan tanah, manakala RM5.6 bilion lagi adalah untuk pengurusan projek serta lain-lain kos, RM1.9 bilion.

Katanya, kerajaan pada 4 Mac 2022 bersetuju dengan pelaksanaan Projek MRT3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu milik dan cekap untuk keselesaan dan kemudahan rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here